Dilaksanakan pada musim haji di Mekah, waktu ibadah tersebut sentiasa ditunggu-tunggu oleh umat Islam dari seluruh dunia.

Seperti mana yang kita ketahui, pelbagai amalan, rukun haji dan doa perlu dihafal serta diketahui oleh para jemaah agar ibadah tersebut tidak sia-sia.
Walau bagaimanapun, rata-rata jemaah yang menunaikan haji dari negara ini merupakan golongan warga emas yang kadangkala mudah terlupa serta sukar untuk menghafal ke semua doa atau amalan-amalan haji.
Oleh demikian sesetengah daripada mereka sentiasa membawa buku nota berkaitan amalan haji sebagai rujukan ke mana-mana sahaja mereka pergi ketika menunaikan ibadah tersebut.
Namun, buku nota yang dibawa kadangkala hanya memuatkan perkara-perkara penting dan asas sahaja.

Menyedari keadaan tersebut Biotropics Malaysia Berhad iaitu sebuah syarikat tempatan mengambil inisiatif menghasilkan aplikasi Haji-Umrah Nu Prep khas buat jemaah haji dari negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Shahrir Tengku Adnan, sememangnya kini terdapat pelbagai aplikasi mengenai ibadah haji.
Katanya, aplikasi yang sedia ada itu bukan sahaja ditampilkan dalam bahasa Melayu bahkan terdapat dalam pelbagai bahasa namun dilihat tidak begitu sempurna malah sumber maklumatnya diragui.
“Rentetan daripada situasi ini, Biotropics merasakan perlu adanya satu aplikasi yang lengkap serta mesra jemaah biarpun mereka yang pertama kali menggunakan telefon pintar.
“Aplikasi ini seperti juga aplikasi yang terdapat di luar sana dihasilkan untuk membantu serta memudahkan bakal jemaah haji dan umrah mengerjakan aktiviti kedua-dua ibadah tersebut serta perkara-perkara harian di Tanah Suci Mekah.
Walau bagaimanapun katanya, aplikasi Haji-Umrah Nu Prep yang dihasilkan menggunakan data dan kerjasama daripada Lembaga Tabung Haji .
“Untuk aplikasi ini kita tidak menggunakan sembarangan data dan info, kerana kita tahu aplikasi ini berkaitan dengan ibadah penting kepada umat Islam di negara ini.
“Segala maklumat seperti doa, zikir, amalan-amalan penting ketika menunaikan haji, dam dan pelbagai lagi hal-hal berkaitan ibadah tersebut dimasukkan setelah merujuk kepada Tabung Haji terlebih dahulu.
Pengisian yang diguna dikumpulkan dari pelbagai rujukan mengikut mazhab Imam As-Syafii dan Ahli Sunnah Wal- Jamaah.
Tabung Haji turut terlibat dalam memeriksa kandungan dan maklumat yang digunakan dalam aplikasi Haji-Umrah Nu Prep agar mematuhi hukum syarak, serta mengikut panduan dan amalan yang digunakan oleh pengurusan Tabung Haji.
Terdapat banyak aplikasi yang dihasilkan oleh syarikat tempatan mahupun antarabangsa yang tersedia di App Store, masing-masing memiliki keistimewaan sendiri.
Meskipun tiada satu aplikasi yang memiliki ciri komprehensif, lengkap maklumat, kandungan berstruktur yang berbahasa Malaysia dan interaktif untuk pengguna.
Antara kelebihan aplikasi tersebut adalah mengandungi maklumat serta langkah-langkah yang terperinci sebagai panduan kepada jemaah ketika mengerjakan haji atau umrah.
Aplikasi tersebut mengandungi maklumat yang praktikal dan interaktif berdasarkan bahan rujukan daripada Tabung Haji.
Kandungan dalam aplikasi itu juga telah dirujuk kepada Bahagian Bimbingan Jabatan Haji agar selari dengan Mazhab Imam Shafie.
Selain itu, kandungan dalam aplikasi tersebut dapat membantu jemaah mengingati semula ibadah rukun dan wajib di samping perkara-perkara sunat yang perlu dibuat ketika berada disatu-satu tempat, contohnya ketika jemaah mengerjakan Tawaf dan Saie.
Pengurusan Mutawwif juga lebih mudah, seperti dapat mengumpulkan kumpulan jemaah pada tempat yang ditetapkan mengikut jadual yang telah diaturkan.
Bimbingan serta persoalan lazim juga boleh dijawab dengan tepat selain mendapatkan maklumat kawasan setempat seperti lokasi hospital, hotel, restoran dan pusat beli belah.
Jemaah haji juga dapat berhubung terus dengan rakan-rakan serta ahli keluarga tanpa keluar daripada aplikasi 
tersebut.
Seterusnya, terdapat 114 surah serta beberapa hadis sahih, arah kiblat, waktu solat turut dimuatkan ke dalamnya.
Untuk mendapatkannya, pengguna boleh terus memuat naik dari App Store dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
Selain itu, tiada caj tambahan untuk menaik taraf maklumat, seperti mana aplikasi-aplikasi lain di App Store.
Jelas Tengku Shahrir, Biotropics Malaysia Berhad menyediakan aplikasi tersebut adalah secara percuma dan sebagai satu sumbangan korporat buat jemaah haji di negara ini.
“Kami juga berharap aplikasi tersebut dapat membantu semua jemaah Haji dan Umrah serta mutawif bagi menjalankan ibadah di Tanah Suci dengan lebih sempurna.
Merupakan terbitan Bumbershoot, aplikasi tersebut kini boleh dimuat turut bermula 4 Ogos lalu di App Store dan boleh muat turut telepon bimbit yang menggunakan platform iOS sedikit masa lagi.