Sungguhpun begitu, walaupun khasiat Tongkat Ali diakui namun tidak ada satu kaedah tetap yang diketahui dalam penyediaan bahan ini untuk membolehkan mereka yang mengambilnya mendapat nilai perubatan yang maksimum. Pensyarah di Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Azimahtol Hawariah Lope Pihie, berkata selama ini khasiat Tongkat Ali diperoleh dengan melakukan proses merebus akarnya.
Bagaimanapun, tidak ada formula tetap mengenainya seperti nisbah air dengan akar Tongkat Ali yang diperlukan untuk menghasilkan rebusan, berapa lama rebusan perlu dilakukan juga sebanyak mana air yang perlu tinggal selepas rebusan dibuat, katanya. Kebanyakan pengamal perubatan tradisional melakukannya berdasarkan pengalaman dan juga ilmu perubatan tradisi yang dimiliki yang menjadikan ia berbeza antara satu pengamal dengan yang lain. Sungguhpun khasiat Tongkat Ali banyak diperkatakan, namun timbul juga pertanyaan adakah tumbuhan ini benar-benar mempunyai potensi; dalam urusan yang berkaitan dengan hormon lelaki seperti testesteron.
Inilah yang cuba dibuktikan Prof Azimahtol Hawariah dalam kajiannya bertajuk Phytopharmaceutical product from Eurycoma longifolia: A hormonal therapy for low libido ini men. Kajian ini sudah beberapa kali dibentangkan dan yang terbaru di International Exhibition of Inventions, New Techniques and Products di Geneva dan membolehkan Prof Azimahtol mendapat pingat perak.
“Daripada kajian yang saya jalankan, saya mendapati sememangnya Tongkat Ali mampu meningkatkan rangsangan seks kepada seseorang, tetapi apa yang lebih penting ia juga mampu mengatasi masalah ereksi,” katanya dalam temubual baru-baru ini. Apa pun katanya, keinginan saja tanpa diterjemahkan kepada reaksi tidak ada makna dan inilah kelebihan yang ada pada Tongkat Ali kerana Tongkat Ali meningkatkan penghasilan hormon testesteron. Katanya, apa yang lebih menarik mengenai Tongkat Ali ialah ia bukan sekadar meningkatkan keinginan tetapi juga mampu membantu mereka yang menghadapi masalah libido seksual rendah.
No comments:
Post a Comment