Saturday 18 June 2011

Pelbagai Jenis Ubat Tiruan bernilai RM100,000 dirampas

Kosmo
Jumaat - 27 Mei 2011

Kuala Lumpur - Kebanjiran peniaga yang menjual pelbagai produk ubat -ubatan tradisional tiruan di sekitar Jalan Raja Bot dekat Kampung Baru semakin menjadi - jadi. Biarpun sebilangan mereka pernah di serbu namun peniaga-peniaga yang merupakan warga asing bertaraf penduduk tetap di negara ini seolah - olah tidak serik dan terus menjalankan aktiviti tersebut. Dalam operasi semalam, Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan merampas sebanyak 94 jenis ubat yang bernilai RM100,000 daripada enam buah kedai yang di serbu.

Operasi bermula pada pukul 12 tengah hari itu dibuat oleh jabatan itu selepas pihaknya mengadakan pemantauan terhadap aktiviti penjualan ubat-ubatan tradisional tiruan secara terbuka kepada orang awam di kawasan itu. Ketua operasi, Adnan Salimin berkata, masih ramai warga asing menjalankan aktiviti penjualan ubat-ubatan tradisional tiruan secara terbuka kepada orang ramai di kawasan terbabit.

"Masih ada segelintir peniaga tidak meletakkan alat pengimbas hologram yang digunakan untuk pelanggan bagi menyemak ubat-ubatan yang hendak dibeli dipremis menjual ubat-ubatan itu. "Alat pengimbas diberi secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kemudahan pelanggan bagi menyemak status produk yang hendak dibeli," kata beliau ketika ditemui selepas operasi semalam. Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan peniaga terbabit bertindak menyembunyikan alat hologram itu bagi mengaut keuntungan kerana mereka menjual ubat-ubatan tradisional tiruan yang hampir menyamai produk tulen."Setiap ubat yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan dari segi bahan kandungan mempunyai pelekat hologram dan ia selamat digunakan orang ramai," katanya.

Peniaga yang didapati bersalah menjual ubat-ubatan tiruan boleh didakwa di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan denda sebanyak RM50,000 bagi syarikat manakala bagi individu pula boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000.

No comments:

Post a Comment