Tuesday 12 April 2011

Antara khasiat dan mudarat tongkat ali (Bhgn Akhir)

Eurikomanon yang merupakan sebatian utama (major) telah dipilih sebagai sebatian penanda untuk akar tongkat ali. Peratus pemulangan pengekstrakan eurikomanon daripada akuas ekstrak akar tongkat ali adalah tidak kurang daripada 1.7 peratus. Terkini, FRIM telah menawarkan perkhidmatan teknikal kepada industri farmaseutikal, nutraseutikal dan makanan, untuk penilaian kualiti ekstrak dan produk tongkat ali. Penentuan kualiti juga dapat dihasilkan dengan teknologi sensor bau dan rasa yang telah digunakan sebagai peralatan penjanaan finger-printing untuk aktiviti pempiawaian tumbuhan ubatan, ekstrak dan herba produk.
Dengan adanya penanda kimia tersebut, ia sebagai 'cap cari' tongkat ali yang mengesahkan kehadirannya dalam mana-mana campuran pun. Ditanya mengenai kegilaan golongan lelaki yang minum tongkat ali untuk menambah tenaga terutama untuk tujuan seks, beliau berkata, kajian mengenainya telah dibuktikan tetapi biasanya pada dos yang disyorkan. ''Pengguna sihat secara umumnya hanya memerlukan 100 miligram sehari sahaja," ujar Rasadah.
Katanya, memang benar ada kajian mengenai kandungannya yang dikenali sebagai kesan apphrodisiac tetapi kesannya bergantung kepada dos. Kajian kimia mendapati kewujudan sebatian aktif seperti eurikomanon, eurikomalakton dan eurikomanol (qussinoids) yang banyak di dalam akar. Sebatian ini telah dikenal pasti berkeupayaan untuk meningkatkan penghasilan hormon testosterone (androgenic) yang diperlukan dalam fungsi kelelakian. Sebatian yang menyebabkan aktiviti tersebut telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk nutraseutikal atau farmaseutikal untuk rawatan masalah hormon dan kesuburan.
Apa yang penting dalam pengambilan tersebut, dos penggunaan perlu diambil kira kerana ada kemungkinan ia mengundang risiko kepada pengguna. Hasil kajian juga mendapati bahawa tongkat ali mempunyai sebatian aktif anti malaria dan anti kanser tetapi kajian lanjut mengenai tumbuhan herba tersebut masih dijalankan. Ditanya mengenai bahagian mana pada pokok tersebut yang paling banyak sebatian bioaktif, Rasadah berkata, khasiatnya banyak tersimpan di bahagian akar selain daun dan batang. Orang Melayu kata beliau hanya mengetahui rahsia khasiat pada 1990-an dan ketika itu mereka menggunakannya dengan merebus bahagian yang dikatakan mempunyai banyak khasiat.
Dengan kata lain, apa yang dilakukan oleh saintis hari ini ialah untuk membuktikan atau mengesahkan apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu. Pembuktian secara saintifik itu perlu bagi menguji keberkesanan, kualiti dan keselamatannya. Malah FRIM telah menawarkan perkhidmatan memproses kepada industri herba dalam penghasilan produk daripada tongkat ali menerusi kilang Amalan Pengilangan Baik (GMP) di Pusat teknologi Herba (HTC) FRIM di Kepong. Namun katanya, apa yang membimbangkan ialah kecenderungan segelintir pihak yang suka mencampurkan tongkat ali dengan bahan lain untuk menambah khasiat sesautu formulasi herba tersebut ''Kita tidak tahu apakah bahan-bahan yang dicampurkan ini bertindak balas sesama sendiri dan menimbulkan risiko lain," katanya.

No comments:

Post a Comment