Tuesday 16 August 2011

Penguatkuasaan lemah punca lambakan kopi

Oleh Syed Azwan Syed Ali dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my
2011/08/16

Peniaga jual produk beracun kerana permintaan tinggi

KUALA LUMPUR: Kelemahan penguatkuasaan undang-undang dengan hanya melakukan pemeriksaan dua tiga kali setahun dan sekadar memberikan teguran lisan kepada peniaga, dikenal pasti antara punca lambakan produk minuman segera beracun di pasaran negara ini.

Selain itu, serbuan yang dikatakan hanya bertumpu kepada premis besar, menyebabkan peniaga kecil-kecilan menjualnya secara terbuka, selain menggunakan taktik licik menyorok produk dan menjualnya tanpa resit.

Tinjauan Berita Harian di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Raja Bot di sini semalam mendapati produk minuman yang mengandungi bahan kimia beracun seperti Sildenafil, Tadalafil, Verdabafil dan Sibutramine terus dijual, walaupun akhbar ini mendedahkan minuman itu boleh mendatangkan maut jika diambil tanpa pengawasan doktor.

Beberapa peniaga asing, terutama warga Indonesia yang ditemui berkata, permintaan terhadap produk minuman segera yang digunakan untuk menambah tenaga dan melangsingkan badan itu terus meningkat, walaupun ada dakwa ia boleh menyebabkan mati pucuk, selain membawa maut bagi mereka yang menghidap penyakit jantung.

“Penguat kuasa hanya buat pemeriksaan dua atau tiga kali setahun di kawasan ini, selalunya mereka hanya periksa kedai besar. Jadi kedai kecil macam kami jarang diserbu kerana produk tidak banyak. Jika datang pun, kami hanya ditegur,” kata peniaga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Aman, 32.

Aman menjual beberapa jenama minuman segera seperti Kopi Campuran Kedai Kopi Ali Bagus, Maca Max dan semua produk minuman Goji.

Semalam, akhbar ini memetik Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail yang mendedahkan ada lebih 40 produk minuman mengandungi bahan beracun dijual secara berleluasa.

Penggunaan bahan perangsang seks seperti Sildenafil, Tadalafil dan Verdabafil tanpa pengawasan doktor boleh membawa kesan sampingan serius seperti tekanan darah rendah dan pengguna yang mengambilnya akan berasa pening dan pengsan, manakala penggunaan Sibutramine sebagai bahan pelangsing pula boleh menyebabkan kesan kepada saraf otak serta menyerang organ dalaman lain sehingga mengakibatkan pengguna mengalami masalah mental dan kemurungan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman, berkata isu produk minuman beracun bukanlah isu baru di negara ini.

No comments:

Post a Comment